
Menuntut ilmu memberikan pelbagai manfaat kepada pelajar sekolah. Ini termasuklah membentuk pemikiran kritis, mempelajari ilmu baharu, serta melahirkan insan bersahsiah tinggi. Selain itu, ilmu turut memainkan peranan penting dalam menjamin masa hadapan yang cerah. Oleh hal yang demikian, pelajar perlu menghargai kepentingan ilmu sebagai asas kejayaan dan masa depan yang cemerlang.
CONTOH KARANGAN SPM
Dalam era globalisasi ini, ilmu seumpama jambatan yang menjadi penentu kehidupan kita. Bak kata peribahasa, ilmu suluh hidup. Sepanjang perjalanan melalui jambatan tersebut diibaratkan ilmu yang ditimba dan semakin banyak ilmu yang dipelajari, semakin hampir kita sampai ke destinasi. Walau bagaimanapun, perbezaan antara jambatan dan ilmu terletak pada jarak dan masa yang diambil untuk sampai ke destinasinya. Jambatan hanya memakan masa yang singkat, namun menimba ilmu adalah sepanjang hayat. Ini jelas membuktikan bahawa ilmu sangat penting dan bukanlah menjadi kewajipan pelajar semata-mata. Oleh hal yang demikian, wajarlah kita mengetahui apakah sebenarnya manfaat menuntut ilmu kepada pelajar sekolah.
Salah satu manfaat ilmu kepada pelajar ialah menjadi individu yang celik realiti. Pelajar yang celik tidak akan mudah ditipu atau terpedaya dengan individu tidak bertanggungjawab. Hal ini dikatakan demikian kerana, pada zaman yang serba canggih ini, ramai orang yang mengalami kerugian besar akibat daripada tipu muslihat penipu siber. Penipu siber ini menggunakan cara yang menarik dalam mengambil perhatian masyarakat. Antara cara yang dimaksudkan termasuklah melalui skim pelaburan cepat kaya, cinta palsu di media sosial, dan menyamar sebagai pihak berkuasa. Justeru, ilmu pengetahuan yang dipelajari di sekolah tidaklah memadai melainkan pelajar juga perlu peka terhadap isu semasa sebagai ilmu kontekstual. Oleh hal yang demikian, pelajar dapat mengelakkan diri daripada mengalami sebarang kerugian dan tidak akan menjadi mangsa penipuan. Jelaslah bahawa ilmu itu pedoman hati, jika tidak dituntut nescaya menjadi rugi.
Selain itu, manfaat utama menuntut ilmu adalah untuk menambahkan lagi ilmu di dada. Ilmu bukanlah diperolehi melalui subjek-subjek yang dipelajari di sekolah semata-mata, melainkan pelajar juga dapat menglibatkan diri dalam pendidikan secara tidak formal. Antara contoh pendidikan tidak formal termasuklah kem motivasi, latihan kemahiran, pembelajaran melalui media sosial, dan pembelajaran daripada komuniti atau keluarga sendiri. Sebagai kesannya, pelajar dapat mengembangkan ilmu sekaligus meningkatkan kemahiran dalam pelbagai aspek kehidupan. Dengan adanya ilmu dalam diri pelajar, mereka tidaklah diibaratkan seperti katak di bawah tempurung. Izharnya, mempelajari ilmu baharu merupakan salah satu manfaat utama menuntut ilmu kepada pelajar.
Seterusnya, ilmu pengetahuan yang diperolehi di sekolah dapat melahirkan pelajar yang bermoral. Hal ini dikatakan demikian kerana, ilmu menjadi penyuluh jalan bahkan sehingga tubuh dipisahkan daripada roh. Justeru, guru sekolah juga berperanan penting dalam mengajar panduan yang baik agar pelajar dapat menjadi insan yang memiliki sahsiah dan akhlak yang terpuji. Dengan panduan yang benar daripada guru, pelajar akan dapat memanfaatkan dan mengaplikasikan nilai-nilai murni yang dipelajari melalui subjek seperti Pendidikan Islam, Moral, dan Sivik dalam kehidupan seharian. Kesannya, pelajar akan lebih disenangi dan disukai oleh orang-orang di sekelilingnya kerana tingkah lakunya yang tertib. Jelaslah bahawa ilmu yang dipelajari di sekolah nescaya mendatangkan manfaat kepada pelajar dari sudut sahsiah diri jika diaplikasikan dalam kehidupan.
Di samping itu, ilmu juga dapat menjamin masa hadapan pelajar. Tidak rugi seseorang pelajar mengejar ilmu sehingga ke menara gading kerana ketika melangkah ke alam dewasa, barulah kita sedar betapa pentingnya ilmu terutamanya dalam kalangan wanita masa ini. Oleh hal yang demikianlah, subjek Sejarah diperkenalkan dalam pendidikan formal. Subjek Sejarah bukan sahaja membawa kita kembali ke zaman yang telahpun berlalu, malah mengajarkan tentang kesilapan yang tidak sepatutnya diulangi. Nescaya, pelajar dapat mengubah sejarah ke arah masa hadapan yang lebih cerah. Bahkan gelapnya masa lalu dapat diubah menjadi terang dengan sinar ilmu yang diperoleh. Ilmu juga seperti subjek Sejarah. Jika tidak dituntut, penyesalan akan datang silih berganti kerana lalai sesat adakalanya mencurahkan air mata. Ringkasnya, masa hadapan yang cerah dan gemilang dapat dicapai oleh pelajar dengan menuntut ilmu.
Akhir sekali, pelajar juga akan mampu menyelesaikan pelbagai jenis masalah dan rintangan hidup hasil daripada ilmu yang dituntut. Hal ini dikatakan demikian kerana, ilmu yang dipelajari dapat membantu diri pelajar untuk mengetahui tindakan wajar yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Hal ini dapat dilakukan dengan menuntut ilmu yang mampu membantu diri pada masa mendatang seperti ilmu psikologi, kewangan, dan kemahiran hidup. Kesannya, pelajar akan terbebas daripada belenggu permasalahan yang dihadapi. Ilmu amatlah penting, sinarnya terang cahaya sejati. Oleh hal yang demikian, tuntutlah ilmu sebagai persediaan mengharungi ketidakpastian yang menunggu di masa hadapan. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.
Izharnya, ilmu pemacu kejayaan hidup setiap pelajar. Ilmu sebenarnya bukan sahaja mendatangkan manfaat kepada pelajar semata-mata, malahan untuk setiap orang. Lebih-lebih lagi, hampir setiap negara menyediakan pendidikan percuma kepada rakyatnya. Justeru itu, setiap individu pernah menyandang gelaran sebagai seorang pelajar. Ini jelas membuktikan bahawa kepentingan ilmu itu tiada taranya. Untuk mencapai status negara maju juga, masyarakat yang berilmu merupakan salah satu pemacu ke arah kemajuan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana, individu itu sendirilah yang mampu meningkatkan taraf kehidupannya dan bukannya orang lain. Oleh hal yang demikian, tuntutlah ilmu sampai ke negeri China.