Cara Menjadikan Warisan Bangsa Sebagai Ikon Diri

Malaysia
Cover Image That Contains Title Of This Blog Post

Berikut merupakan salah satu contoh karangan yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan terutamanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan menengah atas. Untuk melihat lagi banyak contoh karangan, anda boleh terus scroll ke bawah untuk melihat post yang tertera atau tekan menu blog di bahagian atas.

CONTOH KARANGAN SPM

Bagaimanakah kita menjadikan warisan bangsa negara kita sebagai ikon dalam diri setiap masyarakat tanpa meniru warisan bangsa di negara lain?

Negara kita Malaysia cukup terkenal oleh rakyatnya yang berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban. Setiap kaum ini masih mengamalkan warisan yang diturunkan oleh nenek moyang dan disesuaikan dengan cara hidup dan agama generasi masa ini. Oleh hal yang demikian, kita sebagai generasi yang menerima warisan ini haruslah bersyukur dan bertuah dengan keistimewaan yang terdapat dalam semua kaum di Malaysia. Persoalannya, bagaimanakah kita menjadikan warisan bangsa negara sebagai ikon dalam diri setiap masyarakat tanpa meniru warisan negara lain?

Salah satu cara yang boleh dilakukan untuk menjadikan warisan sebagai ikon dalam diri setiap masyarakat termasuklah individu dalam setiap kaumnya masing-masing haruslah mempunyai keinginan yang tinggi untuk meneruskan budaya yang ada di dalamnya. Hal ini dikatakan demikian supaya kebudayaan ini dapat dikekalkan dan diteruskan oleh generasi yang akan datang. Sebagai contohnya, anak-anak muda daripada kaum Melayu harus membuka mata mereka untuk belajar mengenai tarian Melayu seperti Tarian Zapin dan Joget. Perkara ini juga boleh dipraktikkan oleh kaum yang lain seperti kaum Kadazan dengan mempelajari Tarian Sumazau. Oleh hal yang demikian, generasi muda sekarang dapat mengetahui tarian tradisional kaum masing-masing di samping memartabatkan lagi warisan bangsa yang ada sejak dahulu. Dengan ini, jelaslah bahawa setiap individu memainkan peranan yang amat penting untuk menjadikan warisan ini sebagai ikon dalam diri mereka dengan menanam tekad yang tinggi untuk meneruskan budaya bangsa kaum-kaum di Malaysia.

Selain itu, pihak sekolah juga memainkan peranan yang sama penting dengan mewujudkan kelab dan persatuan yang berkait rapat dengan kebudayaan yang terdapat dalam sesuatu kaum di Malaysia. Dengan wujudnya kelab dan persatuan kebudayaan di sekolah, ini akan menggalakkan lagi para pelajar agar terus melibatkan diri dan mempelajari sesuatu daripada aktiviti kebudayaan yang dijalankan. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah perlulah mengalakkan para pelajar supaya menyertai aktiviti kebudayaan pada waktu kokurikulum dan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran. Kesannya, pelajar dapat dilatih dan diajar mengenai keistimewaan warisan bangsa kaum-kaum di Malaysia seterusnya melahirkan generasi yang mementingkan amalan dan adat yang telah diwariskan oleh generasi terdahulu. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pihak sekolah perlulah mewujudkan kelab dan persatuan yang berkaitan dengan kebudayaan. Guru-guru dan para pelajar haruslah berganding bahu agar aktiviti kebudayaan ini akan berjalan dengan lancar dan mampu membentuk pelajar yang menghargai warisan bangsa dengan menjadikan warisan sebagai ikon dalam diri mereka.

Seterusnya, pihak kerajaan pula  bertanggungjawab untuk mengadakan aktiviti kebudayaan rakyat Malaysia sekurang-kurangnya sekali dalam setahun khususnya Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan. Aktiviti kebudayaan ini diadakan untuk mendedahkan kepada rakyat tentang keunikan budaya yang terdapat di Malaysia. Sebagai contohnya, pesta kebudayaan dan kesenian boleh dilakukan pada pelbagai peringkat seperti peringkat daerah, negeri, negara, mahupun antarabangsa yang meliputi tarian, muzik, pakaian, dan makanan. Hal ini akan membuka mata rakyat agar menjadikan warisan negara sebagai ikon dalam diri di samping menjadikan pesta ini sebagai salah satu tarikan pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Secara jelasnya, salah satu peranan kerajaan untuk menjadikan warisan bangsa ini sebagai ikon dalam diri masyarakat ialah dengan mengadakan aktiviti kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia.

Bertunjangkan cara yang pragmatik, pihak kerajaan juga boleh mengadakan rumah terbuka secara besar-besaran bagi setiap perayaan yang disambut di Malaysia seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Kaamatan, dan Hari Gawai. Rumah terbuka ini dapat mengeratkan lagi silaturahim antara keluarga, sahabat handai, dan jiran tetangga daripada pelbagai kaum, seterusnya membina persahabatan yang akrab, bak kata pepatah bagai isi dengan kuku. Kerajaan juga boleh mengalakkan rakyat pelbagai kaum di negara ini supaya menganjurkan rumah terbuka semasa majlis perayaan. Jika amalan ini dapat diteruskan dan dikekalkan, tidak hairan masyarakat kita hidup bersatu padu, aman, dan harmoni. Tuntasnya, amalan rumah terbuka dapat menjadikan warisan bangsa sebagai ikon dalam diri setiap masyarakat.

Akhir sekali, sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, kita haruslah menjadikan warisan bangsa yang terdapat di negara kita sebagai suatu ikon dalam diri setiap masyarakat tanpa meniru warisan bangsa di negara lain. Peranan daripada semua pihak amatlah diperlukan untuk membina warisan bangsa yang istimewa. Kerjasama semua pihak perlulah dititikberatkan bagai aur dengan tebing agar Malaysia menjadi salah satu negara yang terkenal kerana keunikannya yang mempunyai warisan bangsa yang pelbagai.

 ᵕ̈೫˚ DOWNLOAD HERE ༉‧₊˚.

Instagram
SietaClaie