
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, topik mengenai sukan semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat kerana ramai yang mula sedar bahawa gaya hidup aktif memainkan peranan besar dalam kesejahteraan fizikal dan mental. Daripada aktiviti riadah ringan hingga sukan kompetitif, setiap satu menawarkan manfaat yang bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah turut mempengaruhi komuniti secara keseluruhan. Dengan kesedaran yang semakin meningkat tentang kepentingan menjaga kesihatan dan hubungan sosial, persoalan yang sering timbul adalah apakah sebenarnya kepentingan bersukan dalam kehidupan kita?
CONTOH KARANGAN SPM
Belakangan ini, isu sukan semakin kerap menjadi topik perbualan dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan kerana aktiviti ini memberi kesan secara langsung kepada kesejahteraan rakyat. Oleh sebab sukan memberikan pelbagai impak positif, usaha untuk melahirkan masyarakat yang aktif bersukan perlu digerakkan dengan lebih serius dan sistematik. Persoalannya, apakah kepentingan bersukan kepada masyarakat?
Salah satu kepentingan utama bersukan adalah dapat menyihatkan tubuh badan. Hal ini demikian kerana tubuh badan yang sihat membolehkan kita menjalani kehidupan seharian dengan sempurna dan seimbang. Oleh itu, kita digalakkan untuk melakukan senaman ringan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu walaupun sibuk dengan tugasan harian. Sebagai contoh, aktiviti berjoging di taman rekreasi ataupun menyertai larian maraton mampu meningkatkan stamina dan ketahanan tubuh. Secara langsung, aktiviti sukan dapat mengelakkan kita daripada menghidap penyakit kronik seperti obesiti dan diabetes. Jelaslah bahawa bersukan merupakan amalan terbaik untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan.
Selain itu, sukan juga berperanan penting dalam mengisi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat. Hal ini demikian kerana masa yang tidak diurus dengan baik boleh mendorong seseorang terlibat dalam kegiatan yang kurang sihat seperti melepak tanpa tujuan atau bermain permainan video secara berlebihan. Oleh sebab itu, kegiatan sukan seperti bermain futsal bersama rakan-rakan ataupun badminton bersama ahli keluarga dapat memastikan masa lapang diisi secara berfaedah. Secara tidak langsung, remaja dapat mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial seperti vandalisme dan juga dapat mengurangkan tekanan. Sesungguhnya, sukan mampu menjadikan masa lapang lebih produktif dan bermakna.
Kepentingan sukan yang seterusnya adalah mengeratkan hubungan silaturahim dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana sukan membuka ruang untuk kita berinteraksi, berkomunikasi, dan mengenali individu baharu. Minat yang sama dalam bidang sukan menjadikan hubungan yang terjalin lebih erat dan harmoni. Sebagai contoh, aktiviti berkongsi strategi permainan badminton atau bekerjasama dalam satu pasukan bola jaring dapat memupuk semangat setiakawan dan toleransi. Natijahnya, sukan bertindak sebagai jambatan yang merapatkan hubungan antara ahli masyarakat tanpa mengira usia, kaum, atau latar belakang.
Selain itu, sukan turut memberikan peluang untuk mengharumkan nama sekolah, negeri, dan negara. Hal ini penting kerana pencapaian gemilang dalam bidang sukan dapat meningkatkan imej dan reputasi negara di persada antarabangsa. Rentetan itu, para atlet perlu berusaha gigih dan memiliki semangat kesukanan yang tinggi agar mampu bersaing secara profesional. Sebagai contoh, atlet sekolah yang berjaya mengharumkan nama sekolahnya pasti akan berasa lebih bersemangat untuk terus cemerlang apabila diberikan penghargaan sewajarnya. Jelas bahawa sukan bukan sahaja mengangkat martabat individu, malah turut mengharumkan nama negara.
Tambahan pula, bidang sukan turut menawarkan peluang pekerjaan kepada masyarakat. Hal ini demikian kerana industri sukan merangkumi pelbagai kerjaya seperti jurulatih, guru pendidikan jasmani, pegawai sukan, dan atlet profesional. Ramai individu berjaya menjadikan sukan sebagai punca pendapatan utama, termasuklah bekas pemain badminton negara, Dato’ Lee Chong Wei, yang telah mencapai kejayaan besar dan memperoleh pendapatan lumayan melalui karier sukan. Oleh itu, masyarakat perlu sedar bahawa bidang sukan bukan sekadar hobi, malah mampu menjadi kerjaya yang menjamin masa depan.
Kesimpulannya, jelas bahawa sukan mempunyai pelbagai kepentingan kepada masyarakat. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk memupuk budaya hidup aktif dalam kalangan rakyat. Sesungguhnya, usaha yang berterusan umpama genggam bara api biar sampai jadi arang akan melahirkan masyarakat yang sihat, berdisiplin, dan berdaya saing sehingga negara kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju lain.