
Di seluruh dunia, penyakit kronik seperti kanser, serangan jantung dan penyakit buah pinggang semakin meningkat sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat. Walaupun pelbagai kempen dan inisiatif kesedaran telah dijalankan oleh pihak kerajaan, kesihatan diri tetap bergantung pada tindakan dan pilihan setiap individu. Dalam era serba moden ini, kita tidak boleh hanya bergantung pada rawatan apabila sudah sakit, sebaliknya perlu memahami langkah pencegahan yang boleh diamalkan sejak awal. Oleh itu, penting untuk kita mengetahui cara mengawal dan mengurangkan risiko penyakit kronik demi memastikan kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti.
CONTOH KARANGAN SPM
Dunia yang luas dengan pelbagai kemungkinan turut membawa pelbagai ancaman terhadap kesihatan manusia, termasuklah jangkitan penyakit kronik. Statistik menunjukkan bahawa jumlah penghidap penyakit kronik semakin meningkat dari sehari ke sehari, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat global. Pelbagai usaha seperti kempen kesedaran dan program pencegahan telah giat dijalankan oleh kerajaan di seluruh dunia bagi membendung penularan penyakit berbahaya ini. Namun begitu, wajarkah kita sebagai masyarakat yang prihatin hanya berdiam diri dan membiarkan penyakit kronik seperti kanser, serangan jantung dan penyakit buah pinggang terus menular? Oleh itu, masyarakat perlulah bersikap peka dan mengambil tahu langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengawal penyakit kronik.
Salah satu langkah utama mengawal penyakit kronik ialah dengan mengambil vaksin di hospital atau klinik kesihatan. Hal ini demikian kerana vaksin membantu tubuh mengenal pasti serta memusnahkan virus sebelum berlaku jangkitan serius. Sebagai contoh, kerajaan memberikan suntikan vaksin percuma seperti Tetanus dan Hepatitis B Monovalen kepada rakyat bagi mencegah penularan penyakit. Tanggungjawab kerajaan ini menunjukkan bahawa negara kita amat menitikberatkan kesihatan rakyatnya. Oleh itu, masyarakat hendaklah memanfaatkan peluang ini kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Jelaslah bahawa pengambilan vaksin merupakan langkah efektif bagi mengawal risiko penyakit kronik.
Selain itu, masyarakat juga hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian. Amalan pemakanan yang tidak seimbang lazimnya menjadi punca utama masyarakat menghidap penyakit kronik seperti diabetes dan obesiti. Dalam usaha mencegahnya, kita perlulah mengambil makanan mengikut piramid makanan, meminum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari, serta memastikan tidur yang mencukupi iaitu antara enam hingga lapan jam sehari. Kesannya, tubuh badan akan menjadi lebih sihat dan bertenaga, sekali gus mengurangkan risiko penyakit kronik. Hal ini juga dapat mengelakkan kita daripada berulang-alik ke hospital pada masa depan. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Tegasnya, mengamalkan gaya hidup sihat merupakan benteng awal dalam mencegah penyakit kronik.
Di samping itu, pemeriksaan kesihatan secara berkala turut menjadi langkah penting dalam mengawal penyakit kronik. Hal ini demikian kerana penyakit berbahaya dapat dikesan lebih awal melalui pemeriksaan yang sistematik. Masyarakat digalakkan membuat pemeriksaan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali agar simptom awal dapat dikenal pasti. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna; sikap sambil lewa terhadap pemeriksaan kesihatan boleh membawa penyesalan sepanjang hayat. Pemeriksaan berkala membolehkan kita mendapatkan rawatan segera sebelum keadaan menjadi lebih serius. Sesungguhnya, pemeriksaan kesihatan merupakan langkah proaktif yang dapat menyelamatkan nyawa.
Langkah seterusnya yang boleh dilakukan ialah merujuk pakar atau doktor bagi mendapatkan maklumat sahih tentang penyakit kronik. Hal ini penting kerana hanya golongan profesional dapat mengenal pasti simptom awal sesuatu penyakit dan memberikan nasihat berdasarkan fakta perubatan. Kita juga boleh melayari laman sesawang rasmi yang diiktiraf bagi mendapatkan maklumat yang tepat. Implikasinya, masyarakat dapat mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit dan mendapatkan rawatan segera sebelum keadaan bertambah buruk. Tegasnya, merujuk pakar merupakan tindakan terbaik dalam memastikan kesihatan berada pada tahap optimum.
Penjagaan kesihatan diri dan kebersihan persekitaran juga merupakan langkah penting dalam mengawal penyakit kronik. Persekitaran yang kotor bukan sahaja mencemar pemandangan, malah menjadi tempat pembiakan pelbagai penyakit berbahaya. Oleh itu, masyarakat hendaklah bekerjasama menjaga kebersihan kawasan kediaman masing-masing. Sebagai contoh, mengadakan aktiviti gotong-royong bulanan di kawasan kejiranan dapat mengurangkan risiko penyakit seperti demam denggi dan zika. Sesungguhnya, persekitaran yang bersih membawa kesan positif kepada kesihatan masyarakat secara keseluruhannya.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang boleh diamalkan oleh masyarakat bagi mengawal penyakit kronik. Oleh hal yang demikian, kita hendaklah sentiasa peka dan berhati-hati kerana penyakit tidak mengenal usia atau latar belakang. Sesungguhnya, pencegahan lebih mudah daripada rawatan. Kita tentu tidak mahu sesuatu yang buruk menimpa diri sendiri atau orang tersayang. Oleh itu, dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang telah dibincangkan, risiko penyakit kronik dapat diminimumkan demi kesejahteraan hidup bersama.