Kepentingan Sukan Kepada Masyarakat Pelbagai Usia

Malaysia
Cover Image That Contains Title Of This Blog Post

Berikut merupakan salah satu contoh karangan yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan terutamanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan menengah atas. Untuk melihat lagi banyak contoh karangan, anda boleh terus scroll ke bawah untuk melihat post yang tertera atau tekan menu blog di bahagian atas.

CONTOH KARANGAN SPM

Sukan merupakan aktiviti yang amat istimewa dan mendapat tempat di hati masyarakat tanpa mengira usia. Sebagai masyarakat yang prihatin, anda diminta menjelaskan kepentingan-kepentingan sukan kepada masyarakat.

Belakangan ini, isu sukan kerap menjadi topik perbualan yang kian dibincangkan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat umum kerana isu ini memberi kesan kepada semua pihak. Oleh sebab sukan memberi pelbagai kesan positif kepada masyarakat, usaha pelbagai pihak untuk melahirkan masyarakat yang aktif bersukan perlulah dilakukan dengan segera. Persoalannya, apakah kepentingan-kepentingan bersukan?

Salah satu daripada kepentingan sukan ialah dapat menyihatkan badan kita. Hal ini dikatakan demikian kerana badan yang sihat akan memudahkan kita menjalani kehidupan yang sempurna dan bahagia. Sehubungan dengan itu, kita amat digalakkan melakukan senaman ringan sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu walaupun padat dengan tugasan harian masing-masing. Sebagai contohnya, kita boleh berjoging di taman berdekatan dengan tempat tinggal kita ataupun menyertai aktiviti seperti larian marathon. Secara langsung, tubuh kita akan menjadi sihat dan kuat, serta dapat menghindarkan kita daripada menghidap penyakit kronik seperti diabetes dan obesiti. Ringkasnya, sukan dapat menyihatkan badan kita.

Mengisi masa lapang juga merupakan antara kepentingan sukan. Hal ini dikatakan demikian kerana kita tidak akan membuang waktu terluang kita dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan seperti bermain permainan video dan melepak di pusat beli-belah bersama kawan-kawan khususnya dalam kalangan remaja masa ini. Oleh hal yang demikian, amatlah wajar masyarakat seharusnya menggunakan masa yang ada sebaik-baiknya dengan mengajak rakan-rakan atau ahli keluarga beriadah bersama. Sebagai contohnya, bermain futsal bersama rakan-rakan dan bermain badminton bersama ahli keluarga pada waktu petang. Mengisi waktu luang dengan bersukan akan mengelakkan remaja daripada terlibat dengan gejala sosial seperti vandalisme serta menghilangkan tekanan. Jelaslah kepada kita bahawa sukan dapat memenuhkan masa lapang kita dengan aktiviti yang bermanfaat.

Mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat juga merupakan kepentingan sukan. Hal ini dikatakan demikian kerana kita dapat mengenali sesama rakan-rakan baharu dengan lebih mesra dan rapat. Minat yang sama dalam bidang sukan juga kan menjadikan hubungan yang baharu terjalin semakin erat. Rentetan daripada hal ini, masyarakat perlulah beramah mesra dan saling mengenali antara satu sama lain semasa keberadaan kita di pusat sukan tersebut. Sebagai contohnya, kita dapat saling mengenali dan bertukar-tukar pendapat mengenai strategi dan taktik yang digunakan pihak lawan ketika bermain badminton. Hal ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim antara rakan sepasukan dan pihak lawan dalam pertandingan sukan. Ringkasnya, sukan juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat.

Kepentingan seterusnya termasuklah mampu mengharumkan nama sekolah, negeri, mahupun negara. Hal ini amat penting kerana kesan daripada peningkatan nama baik sekolah, negeri, dan negara ini kan menjadikan kita disegani dan disanjung tinggi pihak lawan. Rentetan daripada hal tersebut, masyarakat khususnya dalam golongan belia perlulah berusaha bersungguh-sungguh dan menanamkan semangat kesukanan yang tinggi dalam diri. Kesannya, masyarakat bukan sahaja mengharumkan nama baik sendiri, sekolah, daerah, negeri, ataupun negara, malahan melahirkan rasa bangga dan semangat yang lebih berkobar-kobar untuk melakukan yang lebih baik pada masa yang akan datang. Sebagai contohnya, atlet sekolah yang telah mengharumkan nama sekolahnya akan lebih bersemangat untuk melakukan yang lebih baik sekiranya diberi penghargaan yang wajar oleh pihak sekolah. Ringkasnya, nama baik sekolah, negeri, dan negara akan disanjung tinggi sekiranya masyarakat menyertai pertandingan sukan.

Memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat juga merupakan kepentingan sukan yang tidak kurang pentingnya. Hal ini dikatakan demikian kerana, banyak peluang pekerjaan yang tersedia dalam bidang ini seperti menjadi jurulatih, guru, dan atlet sukan. Oleh hal yang demikian, masyarakat perlulah peka dan tidak memandang enteng bahawa bidang sukan tidak memberikan sebarang faedah kepada kita. Buktinya, ramai atlet dan jurulatih yang telah berjaya dalam bidang pekerjaan masing-masing dan dibayar gaji yang tinggi. Sebagai contohnya, bekas pemain badminton negara Malaysia yang terkenal, Dato Lee Chong Wei yang menjadikan bidang kerjayanya sebagai atlet negara yang telah berjaya di samping mendapatkan pulangan gaji yang lumayan. Natijahnya, bidang sukan juga memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Kesimpulannya, terdapat beberapa kepentingan sukan kepada masyarakat. Oleh hal yang demikian, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing dan bermuafakat untuk mencapai hasrat yang dicita-citakan. Sesungguhnya, usaha yang bersungguh dan berterusan umpama genggam bara api, biar sampai jadi arang akan dapat melahirkan masyarakat yang berkualiti dan negara yang mampu bersaing umpama duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain.

.....

 ᵕ̈೫˚ DOWNLOAD HERE ༉‧₊˚.

Instagram
SietaClaie