Manfaat Menuntut Ilmu Kepada Pelajar Sekolah

Malaysia
Cover Image That Contains Title Of This Blog Post

Berikut merupakan salah satu contoh karangan yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan terutamanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan menengah atas. Untuk melihat lagi banyak contoh karangan, anda boleh terus scroll ke bawah untuk melihat post yang tertera atau tekan menu blog di bahagian atas.

CONTOH KARANGAN SPM

Huraikan manfaat menuntut ilmu kepada murid.

Dalam era globalisasi ini, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang sememangnya penting dan perlu diberikan perhatian utama. Ilmu merupakan jambatan kehidupan mencorakkan kehidupan ke arah yang lebih cerah agar individu mempunyai masa hadapan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Tuntutan zaman telah membuktikan ilmu pengetahuan dapat menjamin kejayaan seseorang jika digunakan dengan sebaik mungkin. Oleh hal yang demikian, ilmu pengetahuan akan melahirkan rakyat yang berintelektual serta berdaya saing dalam pelbagai aspek. Persoalannya, apakah manfaat menuntut ilmu kepada seseorang individu yang bergelar pelajar?

Salah satu manfaat ilmu kepada pelajar ialah tidak mudah ditipu atau diperdaya oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Hal ini dikatakan demikian kerana, pada era intelektual ini, ramai orang yang mengalami kerugian akibat daripada tipu muslihat penipu siber. Penipu siber yang tidak bertanggungjawab ini menggunakan cara yang menarik dalam mengambil perhatian masyarakat. Antara cara yang dimaksudkan termasuklah melalui peraduan gores dan menang. Oleh hal yang demikian, dengan adanya ilmu pengetahuan dan kepekaan dalam diri pelajar, mereka dapat mengelakkan diri daripada mengalami sebarang kerugian dan tidak akan menjadi mangsa penipuan. Ilmu pengetahuan adalah teras kepada kemajuan rakyat. Ilmu itu pedoman hati, jika tidak dituntut nescaya menjadi rugi. Penyesalan akan datang silih berganti jika tidak menuntut ilmu kerana lalai sesaat adakalanya mencurahkan air mata. Jelaslah bahawa ilmu pengetahuan dapat menjadikan seseorang lebih berwaspada daripada muslihat-muslihat orang zalim yang gemar berdusta.

Selain itu, pelajar juga akan mempelajari ilmu baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana, pada waktu pembelajaran, mereka memperoleh ilmu pengetahuan yang lebih meluas daripada subjek-subjek yang dipelajari di sekolah. Ilmu ini boleh diperolehi apabila pelajar melibatkan diri sama ada dalam pendidikan secara formal atau tidak formal. Sebagai kesannya, pelajar dapat menambah dan mengembangkan ilmu pengetahuan sekaligus meningkatkan kemahiran dalam pelbagai aspek kehidupan. Dengan adanya ilmu pengetahuan dalam diri pelajar, mereka dapat mengetahui segala perkara yang perlu untuk diketahui dan mengelakkan diri daripada menjadi katak di bawah tempurung. Izharnya, mempelajari ilmu baharu merupakan salah satu manfaat menuntut ilmu kepada pelajar.

Seterusnya, dengan adanya ilmu pengetahuan yang diturunkan kepada pelajar, sekolah dapat melahirkan pelajar yang bermoral. Ilmu pengetahuan menjadi penyuluh jalan bahkan sehingga tubuh dipisahkan daripada roh. Hal ini dikatakan demikian kerana, pelajar akan menjadi insan yang memiliki sahsiah dan akhlak yang terpuji hasil daripada panduan yang baik melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki. Pelajar yang berilmu akan dapat memanfaatkan nilai-nilai murni yang dipelajari dalam kehidupan seharian seperti nilai bertanggungjawab, bertimbang rasa, dan saling menghormati. Di sekolah, dengan adanya subjek seperti Pendidikan Islam, Moral, dan Sivik akan dapat memupuk nilai-nilai murni yang baik dalam diri pelajar tersebut di samping meningkatkan ilmu pengetahuan. Kesannya, pelajar akan lebih disenangi dan disukai oleh orang-orang di sekelilingnya kerana tingkah lakunya yang tertib. Pelajar dapat menimba ilmu pengetahuan di samping mengaplikasikan nilai yang dipelajari dalam kehidupan. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Jelaslah bahawa ilmu pengetahuan akan dapat melahirkan pelajar yang bermoral dan berakhlak mulia. Justeru, ilmu yang dicedok nescaya mendatangkan manfaat kepada pelajar dari sudut sahsiah diri jika diamalkan dalam kehidupan.

Di samping itu, ilmu pengetahuan juga dapat menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Hal ini dikatakan demikian kerana, jika pelajar berusaha bersungguh-sungguh ketika menuntut ilmu, mereka akan memperoleh dan mempelajari pelbagai ilmu bermanfaat. Bagi meningkatkan ilmu dalam diri, para pelajar seharusnya menimba ilmu pengetahuan daripada guru di sekolah. Pelajar juga digalakkan untuk mengetahui sejarah. Nescaya, dengan pengetahuan sejarah yang ada akan mengajar pelajar untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama dan mengubah sejarah ke arah masa hadapan yang lebih cerah. Bahkan gelapnya masa lalu dapat diubah menjadi terang dengan sinar ilmu yang diperoleh. Ringkasnya, masa hadapan yang cerah dan gemilang dapat dicapai oleh pelajar dengan menuntut ilmu.

Akhir sekali, pelajar mampu menyelesaikan pelbagai jenis masalah melalui ilmu yang dituntut. Hal ini dikatakan demikian kerana, ilmu yang dituntut dapat membantu diri pelajar untuk mengetahui tindakan wajar yang perlu dilakukan dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Hal ini dapat dilakukan dengan menuntut ilmu yang mampu membantu diri pada masa mendatang. Kesannya, setiap pelajar dapat membebaskan diri daripada belenggu permasalahan yang dihadapi. Ilmu amatlah penting, sinarnya terang cahaya sejati. Oleh hal yang demikian, tuntutlah ilmu sebagai persediaan mengharungi ketidakpastian yang menunggu di masa hadapan. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

Izharnya, ilmu pemacu kejayaan hidup setiap individu yang bergelar pelajar. Individu yang berjaya adalah individu yang memandang tinggi ilmu pengetahuan. Bagi mencapai status negara maju, masyarakat yang berintelektual tinggi merupakan pemacu ke arah kemajuan negara. Oleh hal yang demikian, ilmu pengetahuan amatlah penting dan perlu dititikberatkan oleh setiap pelajar untuk meningkatkan taraf hidup serta menempuhi rintangan dalam kehidupan yang penuh dengan saingan dan onak duri pada masa ini.

.....

 ᵕ̈೫˚ DOWNLOAD HERE ༉‧₊˚.

Instagram
SietaClaie