Berikut merupakan salah satu contoh karangan yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan terutamanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan menengah atas. Untuk melihat lagi banyak contoh karangan, anda boleh terus scroll ke bawah untuk melihat post yang tertera atau tekan menu blog di bahagian atas.
CONTOH KARANGAN SPM
Apakah kepentingan yang diperoleh hasil daripada melestarikan warisan budaya negara?
Negara kita Malaysia cukup terkenal oleh rakyatnya yang berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban. Setiap kaum ini masih mengamalkan warisan yang diturunkan oleh nenek moyang dan disesuaikan dengan cara hidup dan agama generasi masa ini. Oleh hal yang demikian, kita sebagai generasi yang menerima warisan ini haruslah bersyukur dan bertuah dengan keistimewaan yang terdapat dalam semua kaum di Malaysia. Namun, tidak ramai daripada kita yang mengambil peduli tentang warisan budaya negara sendiri. Persoalannya, apakah kepentingan yang diperoleh jika kita melestarikan warisan budaya negara sendiri?
Salah satu kepentingan yang dapat dimanfaatkan hasil daripada melestarikan warisan budaya termasuklah kita dapat menonjolkan unsur kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia. Budaya setiap kaum yang berbeza dengan keunikannya yang tersendiri justeru menjadikan negara kita salah satu tumpuan utama para pengunjung dari negara luar datang ke Malaysia. Acara tahunan yang diadakan seperti Festival Kuala Lumpur bukan sahaja dihadiri oleh penduduk tempatan negara kita, malahan dihadiri oleh ramai pelancong dari negara luar yang turut ingin menyaksikan festival tersebut. Dengan ini, jelaslah bahawa penganjuran festival yang bertujuan untuk melestarikan warisan budaya negara amat penting dalam menjadi landasan utama menonjolkan unsur kebudayaan pelbagai kaum di negara kita kepada orang luar.
Selain itu, membentuk masyarakat berbudaya juga merupakan salah satu kepentingan melestarikan warisan budaya terutamanya dalam kalangan generasi muda. Dengan pengetahuan yang luas mengenai warisan budaya negara, generasi muda akan lebih terdedah dengan keunikan dan kekayaan nilai yang ada. Hal ini dikatakan demikian kerana, warisan budaya ini merupakan tunjang tamadun. Pengetahuan mengenai warisan budaya justeru dapat memelihara tamadun. Kita tidak mahu tamadun yang sudah ada sejak zaman nenek moyang kita hilang ditelan arus kemodenan akibat ketidakpedulian kita terhadap warisan budaya negara. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kepentingan melestarikan warisan budaya termasuklah dapat membentuk masyarakat berbudaya dan cinta akan warisan negara. Dengan ini, terbentuklah masyarakat yang menghargai warisan dan menjadikan warisan sebagai ikon dalam diri mereka.
Seterusnya, dengan melestarikan warisan budaya juga akan dapat menarik lebih ramai pelancong tempatan mahupun luar negara untuk berkunjung ke tempat-tempat menarik yang kaya dengan kebudayaan dan kesenian negara. Sebagai contohnya, demonstrasi dan pameran gasing uri yang dianjurkan pada 18 dan 19 Jun 2011 di Pasar Seni, Kuala Lumpur yang lalu. Anjuran ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan pengunjung. Selain dapat memartabatkan permainan tradisional itu sendiri, anjuran ini juga secara tidak langsung telah mempromosikan Pasar Seni tersebut kepada umum sebagai sebuah tempat pelancongan yang tersohor dengan kebudayaan dan kesenian negara. Secara jelasnya, penganjuran demonstrasi dan pameran sebagai salah satu langkah melestarikan warisan budaya telah menarik ramai pengunjung untuk melawat tempat-tempat menarik yang kaya dengan kebudayaan dan kesenian di negara kita.
Kepentingan yang tidak dapat lari daripada melestarikan warisan budaya negara termasuklah meningkatkan minat masyarakat terhadap aktiviti seni. Dengan penganjuran yang lebih kerap, akan lebih ramai masyarakat negara kita ingin turut serta dalam menjayakan program dan anjuran tersebut. Hal ini seterusnya akan dapat menarik minat mereka dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian negara. Lebih ramai masyarakat yang akan menceburi bidang seni. Hal ini dikatakan demikian kerana, pembangunan seni dan budaya merupakan aspek yang tidak kurang pentingnya dalam memperkasakan ekonomi negara. Tambahan pula, aspek seni dan budaya ini memainkan peranan yang amat penting dari sudut pelancongan negara. Tuntasnya, meningkatkan minat masyarakat terhadap aktiviti seni juga merupakan kepentingan hasil daripada melestarikan warisan budaya negara.
Akhir sekali, sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, kita haruslah melestarikan warisan budaya yang terdapat di negara kita. Hal ini justeru akan mendatangkan kebaikan dan kepentingan kepada bangsa dan negara. Antara kepentingan yang kita peroleh hasil daripada melestarikan warisan budaya negara termasuklah dapat menonjolkan unsur kebudayaan pelbagai kaum, membentuk masyarakat berbudaya, menarik lebih ramai pengunjung, serta meningkatkan minat masyarakat terhadap aktiviti seni. Wajarlah setiap pihak berganding bahu dalam melestarikan warisan budaya agar tidak pupus ditelan zaman.