Teguran Pengarang Sebagai Pedoman Dalam Kehidupan

Malaysia

Cover Image That Contains Title Of This Blog Post

Berikut merupakan salah satu contoh karangan yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan panduan terutamanya kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan menengah atas. Untuk melihat lagi banyak contoh karangan, anda boleh terus scroll ke bawah untuk melihat post yang tertera atau tekan menu blog di bahagian atas.

CONTOH KARANGAN SPM

Anda telah membaca sebuah novel yang mengandungi pelbagai teguran pengarang terhadap masyarakat. Berdasarkan karya tersebut, jelaskan teguran pengarang yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita.

Masyarakat pada masa ini semakin kurang nilai dan akhlak dalam diri mereka. Hal ini dapat dibuktikan dengan penambahan bilangan individu yang terlibat dalam budaya yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, vandalisme, dan kegiatan judi. Oleh hal yang demikian, pelbagai cara telah dilakukan bagi meningkatkan kesedaran dalam diri masyarakat. Salah satu cara yang dapat dilakukan adalah melalui penerbitan novel-novel yang mengandungi teguran positif daripada pengarang terhadap masyarakat seperti Silir Daksina karya Nizar Parman. Persoalannya, apakah teguran pengarang yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita melalui novel Silir Daksina ini?

Teguran pengarang yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita ialah rajin berusaha mencapai matlamat yang diinginkan. Hal ini dikatakan demikian kerana kita hanya akan memperoleh kejayaan jika kita rajin berusaha. Hasil tidak akan lari daripada usaha yang kita telah lakukan. Sehubungan dengan itu, kita seharusnya pantang menyerah sebelum menuai hasilnya. Sebagai contohnya, watak yang diperlihatkan dalam novel Silir Daksina menerusi watak Tauke Lim yang rajin bekerja di tanah Cikgu Nizam dan membeli hasil pertanian orang kampung sehingga mampu membeli sebidang tanah untuk tapak rumahnya. Kesan daripadanya, kita akan lebih berdisiplin dalam melaksanakan sesuatu tugas. Justeru, teguran pengarang telah menyedarkan kita agar sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh kejayaan.

Mencintai warisan budaya juga merupakan antara teguran pengarang yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita. Melalui isi yang diperlihatkan ini, mengajar kita untuk mempelajari dan mewarisi seni budaya. Dalam hal ini, kita haruslah sentiasa menghidupkan seni budaya seperti watak Abdullah bin Kayan yang diperlihatkan dalam novel Silir Daksina yang berusaha menghidupkan budaya di Kampung Purnama sehinggakan sanggup mengorbankan kebahagiaannya sendiri. Jika kita mencintai warisan budaya, kita tidak akan melupakan warisan tersebut. Kesannya, generasi yang lahir seterusnya akan dapat meneruskan dan menghayati warisan. Jelaslah kepada kita bahawa teguran pengarang mengajar kita untuk mengenali dan mencintai secara lebih mendalam tentang budaya warisan kerana tak kenal maka tak cinta.

Selain itu, pengarang juga menegur kita agar menyayangi ahli keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan dapat mewujudkan suasana keluarga yang lebih harmoni. Rentetan daripada hal tersebut, watak dalam novel Silir Daksina iaitu Haiqal menjadi teladan kepada kita agar sentiasa menyayangi dan menghormati ahli keluarga. Sebagai contohnya, Haiqal yang menyayangi ibu, ayah tiri, ayah kandung, dan adik tirinya. Impaknya, hubungan kekeluargaan mereka sentiasa dalam keadaan baik dan harmoni. Oleh hal yang demikian, teguran pengarang dalam novel Silir Daksina mengajar kita untuk berbaik-baik sesama anggota keluarga kerana air dicincang tidak akan putus.

Seterusnya, bertanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas yang diberikan merupakan teguran pengarang yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita. Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan mendapat kepercayaan daripada orang lain. Oleh hal yang demikian, kita hendaklah melaksanakan tugas yang diberikan dengan sempurna. Contoh yang dapat diambil daripada novel Silir Daksina ialah menerusi watak See Hwa yang menyerahkan manuskrip seperti yang diamanahkan kepada Haiqal. Natijahnya, kita akan dihormati oleh masyarakat di sekeliling kita. Oleh hal yang demikian, situasi ini mengajar kita agar lebih bertanggungjawab atas tugas yang diamanahkan kepada kita sebaik-baiknya.

Teguran yang terakhir yang dapat menjadi pedoman dalam kehidupan kita ialah taat kepada perintah agama masing-masing. Hal ini akan memicu kepada hidup sesuai di hadapan Tuhan. Dengan ini, kita hendaklah melaksanakan kewajipan agama dengan sempurna. Misalnya, watak Haiqal dalam novel Silir Daksina yang tidak pernah lupa akan tanggungjawabnya sebagai umat Islam dalam menunaikan solat lima waktu setiap hari. Akibat daripada perbuatan ini, kita akan lebih berakhlak mulia dan mempunyai jati diri yang kuat. Tegasnya, teguran pengarang ini mengajar kita agar sentiasa taat pada perintah agama dalam kehidupan kita sehari-hari.

Kesimpulannya, teguran-teguran yang dikemukakan dalam novel Silir Daksina ini dapat dijadikan pedoman yang baik kepada masyarakat umumnya. Masyarakat perlulah rajin membaca dan bijak dalam mengenal pasti teguran yang ingin disampaikan oleh pengarang. Melalui cara ini, masyarakat bukan sahaja mampu memperbaiki diri dari masa ke semasa, malahan dapat mempelajari sesuatu daripadanya. Oleh hal yang demikian, masyarakat mestilah menghayati karya-karya yang ditulis oleh pengarang kerana banyak teladan yang dapat diperoleh melalui pembacaan novel tersebut. Ini secara tidak langsung juga akan mendatangkan ilmu baharu kepada kita seperti peribahasa yang mengatakan membaca merupakan jambatan ilmu.

.....

 ᵕ̈೫˚ DOWNLOAD HERE ༉‧₊˚.

Instagram
SietaClaie